September 30, 2011

iZinkan hanyA EngKau D haTikuuu...














 Di pelataran dinginnya malam, ku terdampar sendiri.



          Saat ini, tika ini, hati seakan terdera dengan amukan    hawa nafsu dan perasaan yang mengetuk-ngetuk tangkai hati. Tidak semena-mena, titisan jernih jatuh, setitis demi setitis. Hati sebak.


Dibiarkan air jernih itu mengalir hangat. Berlawan dengan emosi, ternyata seringkali diriku menjadi kalah. Nurani membentak, jiwa ini tidak tenang. 

Kenapa? Kenapa begini? Kenapa sekarang jadi begini?


Dulu hati itu dapat merasai sebuah ketenangan. Namun kini ketenangan itu seakan-akan diragut. Diragut oleh siapa? Apakah ia hilang ditarik oleh Tuhan? Atau kerana dosa-dosa yang dilakukan? Soalan-soalan itu bertubi-tubi menyoal, namun hati sememangnya tidak mampu menjawab. Terdiam sepi. Adakah hati itu telah mati?
Memang tidak ku nafikan, dia sangat menyayangi diri ini. Tetapi berkali-kali ku ingatkan pada diri, kasih sayang itu tidak abadi!


'Berpada-padalah dalam menyayangi, jika tidak kelak dikau akan menangisi!'


Entah dari mana suara itu datang dan berbisik pesanan, kemudian hilang.


Namun kini, ku pula yang terkena panahan kasihnya itu. Semakin ku lari, semakin dia mendekati. Benarlah. Menjaga sekeping hati amat sukar sekali. Perlu sangat cermat dan berhati-hati. Ku mengeluh, melepaskan sebuah keluhan perasaan yang berat, yang semakin memberati rasa hati.


Jiwa ini tidak lagi suci, terasa ia tersangat kotor.
"Ya Ilahi, di manakah Engkau selama ini yang bertakhta di hati? Kenapa ia sekarang telah terganti dengan makhlukMu? Kenapa diri terlalu tega menggantikan tempat teragung itu dengan insan dan makhlukMu yang hina?"


Hati bermonolog lagi sendirian. Tidak! Ia punya peneman. Sang Tuhan yang sentiasa sentiasa ada mendengar setiap keluhan.


"Astaghfirullahalazim.... Ighfirli Robbi... Ighfirli...."


Bibir memantulkan kalimah suci itu perlahan-lahan. Bibir diketap erat. Menahan tangkai emosi yang kian membuak-buak rasa pilu dan syahdu bila menyebutkan nama terindah itu, jiwa menjadi mudah terusik.


Berbicara dengan Sang Agung, air jernih itu terus menitis kemudian semakin mencurah-curah. Teresak-esak.


"Ya Rabbi, pegang hati ini, dakaplah ia seerat-eratnya, jangan sesekali biarkan ia termiliki oleh makhlukMu, ku tidak sanggup menggantikan tempatMu dengan yang lain, tidak sanggup juga berkongsi rasa itu, ku cuma mahu kasih itu teragung untukMu, ku cuma mahu rindu itu terpatri untukMu, ku cuma mahu cinta itu hanya membunga untukMu Tuhan, jangan biarkan daku terkalahkan dengan emosi dan perasaan yang seringkali dipermainkan oleh syaitan.


Ya muqallibal qulub, tetapkanlah jiwa ini setulusnya di jalanMu, pancarkan cahaya bagiku di jalan yang gelap agar aku tidak teraba-raba kesepian sendirian di hujung jalan yang kelam, jangan biarkan ku terus begini tanpaMu disisi.


Tuhan, Izinkanlah! Cuma ingin Engkau yang bertakhta di hati ini "
Berkali-kali kalimah itu diungkapkan pilu dalam pelantaran sujudnya. Wajah diraup setelah tangan menadah. Hati terus berdoa dan berharap, semoga Dia menerima segala-galanya.





September 28, 2011

solat ? sembahyang ? tunggu bila sudah tua....


Zack: Joe, jom pergi solat. Kalau lewat nanti terpaksalah kita bersolat di luar masjid.

Pelawa Zack ketika dia hendak keluar dari pejabat. Hari ini adalah hari pertama Joe memulakan tugas di tempat kerja baru. Dan orang pertama yang sudi menjadi sahabat Joe adalah Zack.

Joe: Kau pergilah solat Zack, aku nak habiskan kerja ni.

Zack: Eh, tak per. Lepas solat nanti, boleh sambung kerja tu semula. Jomlah.

Joe: Kau sahajalah pergi. Aku tak solat hari ni.


Zack: La, mana boleh macam itu Joe. Solat adalah perkara yang diwajibkan ke atas setiap muslim dan muslimat yang mukallaf iaitu baligh dan berakal.

Joe: Kau kata aku ni tidak berakal lah ya ?

Zack: Bukan macam tu maksud aku. Kenapa kau tak nak solat ?

Joe: Buat apa nak solat. Kitakan muda lagi. Tunggulah bila dah tua nanti. Waktu tu nanti, barulah aku hendak tumpukan sepenuh perhatian aku untuk mengerjakan solat, pergi haji ke. Masa tualah waktu untuk kita beristirehat. Perbanyakkan amalan untuk di jadikan bekalan di akhirat kelak. Masa muda adalah waktu untuk kita bekerja kuat, kumpulkan harta untuk bekalan hari tua.

Mengucap panjang Zack apabila mendengar pendirian Joe dalam bab solat. Sudah jauh tersesat rupanya Joe.

Zack: Ehm kalau kau tak sempat tua, macam mana pula Joe. Katakanlah jika kau ditakdirkan meninggal pada hari esok ?

Joe: Eh yang engkau sibuk sangat ni apasal. Mak bapa aku tak pernah solat dan mereka juga tidak pernah mengajar aku untuk solat. Walaupun aku tidak solat, aku masih bernafas hingga ke hari ini. Rezeki aku masih di murahkan hingga ke hari ini. Jadi apa yang penting sangat solat ini ?

Zack: Solat mempunyai kedudukan yang paling tinggi dalam Islam.

Ibadah lain tidak dapat menyamai ibadah ini kerana solat merupakan suatu manifestasi perhubungan insan kepada Allah, mengandungi pelbagai hikmah serta mampu menjadikan individu Muslim itu benar-benar bertaqwa.

Solat juga merupakan tanda terima kasih kita di atas segala rezeki yang di kurniakan dan begitu juga dengan nyawa yang telah di beri pinjam kepada kita.

Tujuan kita hidup di dunia ini adalah untuk beramal kerana hanya amalan kita sahaja yang akan menjadi tiket untuk kita ke syurga ataupun ke neraka.

Joe hanya memandang screen komputer sambil tangannya mengetuk - ngetuk pensil di atas meja tulis.

Zack: Joe, masih belum terlewat untuk kau bertaubat. Aku bersedia untuk membantu kau Joe. Suatu ketika dahulu, aku juga seperti kau Joe. Islam atas sebab keturunan sahaja. Hal solat, puasa, aku tidak pernah ambil kisah.

Hinggalah pada suatu hari, aku di uji dengan kemalangan yang dasyat. Aku koma sebulan. Selama aku dalam ke adaan koma, aku telah bermimpi untuk melihat segala balasan yang akan aku terima di sebabkan kejahilan aku. Tunang aku meninggal di tempat kejadian dan dia sedang hamil anak luar nikah aku ketika dia meninggal Joe. Aku amat terkilan kerana dia tidak sempat untuk bertaubat.
Hanya aku yang masih di beri kesempatan untuk memperbaiki segala kesilapan lalu. Setiap kali selepas bersolat, aku tidak lupa berdoa untuk arwah tunang aku. Moga dengan sedikit usaha dari aku ini, dapat meringankan azab kubur yang sedang di hadapinya di sana. Mari Joe, aku bantu engkau.

Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:

"Mana-mana muslim yang apabila masuk waktu sembahyang yang diwajibkan lalu dia pun berwudhuk dengan wudhuk yang baik, melakukan solat dengan sebaik-baiknya begitu juga dengan ruku'nya, maka sembahyang itu merupakan kafarat (memadamkan) dosa-dosanya yang telah lalu, selagi dia tidak melakukan dosa besar." Riwayat Muslim


bUkan SeMuDaH ABC or 123






Dalam melangkah, terkadang terasa lemah kaki yang diatur. Terasa letih tubuh yang menanggung. Namun, langkah harus diteruskan demi sebuah perjuangan. Ya, kerana agama dan redha Allah, hati dan kaki ini terus jalan seiring menyusuri denai dakwah.
Entah kan bila harus terus berjalan. Yang pastinya perjuangan ini tidak akan dan tidak pernah selesai. Selagi nyawa dipinjamkan, selagi itulah tugas dakwah ini terpikul kemas di bahu seorang yang bergelar muslim.

"Aku bersaksi tiada Tuhan yang layak disembah selain Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah"

Kalimah yang biasa dilontarkan sama ada orang yg melafazkannya memahaminya atau tidak. Setiap kali solat, inilah bai'ah kita kepada Allah. Namun, sejauh mana bai'ah ini membuatkan kita benar-benar teguh berusaha untuk mengotakannya. Syahadatain bukan sekadar tunggu untuk dilafaz, tetapi untuk diterjemahkan dalam amalan kita. Ya, apakah kita mengekspresikannya melalui tindak tanduk kita seharian? Tepuk dada sendiri, tanya iman di hati.
Keluhan dan rungutan dalam melakukan kerja-kerja Islam tidak seharusnya terpacul dari mulut kita. Sepatutnya kita malu untuk berkira setelah segala nikmat Allah limpah ruahkan kepada kita tanpa meminta kita membayarnya walau sebesar zarah sekalipun.

Tanyakan pada diri, "letihkah kau bekerja dalam islam? Bosankah kau untuk berjuang?"
Ya, setiap apa yg kita lakukan sama ada kecil atau besar perlukan kesabaran. Kerana jika tanpa sabar dalam memenuhinya, datanglah rasa jemu memagut hati supaya meninggalkan kerja-kerja untuk islam ini. Bukankah Allah sudah awal-awal lagi menitipkan kepada kita melalui pesan Luqman kepada anaknya dalam surah Luqman:ayat 17

Maksudnya: "wahai anakku, laksanakanlah solat dan suruhlah (manusia) berbuat yang makruf dan cegahlah (mereka) dari yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk perkara yang penting."

Apabila memerlukan kesabaran, tentulah perkara itu sukar dan akan menghadapi cabaran. Tiada perjuangan yang manis dari awal hingga akhir. Tiada pengorbanan yang dirasakan ringan. Kerana perjuangan itu bukan semudah ABC. Jika disusuri sirah di mana jalan dakwah yang baginda lalui juga bukanlah ditaburi dengan bunga-bunga kesenangan.

Tetapi baginda setiap hari ditohmah dan dihina  kaum Quraisy yang menentang wasilah agama yang dibawa oleh baginda. Bayangkan seorang nabi dilempar dengan najis. Namun, baginda tetap sabar dan tidak marah kerana diperlakukan demikian. Untuk tawar hati dengan mad'u, jauh sekali.
Tapi kita hari ini tidak pernah dijentik sekalipun dalam berdakwah, tapi sudah berputus asa. Apalah sangat dugaan kita berbanding Rasulullah, kekasih Allah. Sebaliknya kita mencontohi Rasulullah akan keperibadian baginda yang mulia. Itulah cabaran pejuang.

Apabila kita sudah tahu perjuangan itu sukar, persiapkanlah diri. Ibadah. Thaqafah. Dan yang lain-lainnya juga. Biar kita payah, asalkan perjuangan terus didakap kemas. Kerana perjuangan itu bukan semudah ABC, lalu menjadi kewajipan untuk kita bersiap sedia dari segenap segi. Ayuh kita buru syahid di jalan Allah. Bukannya melarikan diri kerana gentar dan lebih rela digelar pengecut. Ayuh. Kembalikan kegemilangan islam. Allahu Akhbar!

(iluvislam)